Ahad, 3 Januari 2010

Jadilah Penyebab Hidayah

مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنَ الأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لاَ يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلاَلَةٍ كَانَ عَلَيْهِ

مِنَ الإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لاَ يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا

Maksudnya:

Sesiapa yang mengajak manusia ke jalan hidayah (kebenaran), dia akan memperolehi ganjarannya seperti ganjaran orang-orang yang mengikutinya. Tidak dikurangkan sedikit pun daripada ganjaran pahala mereka. Dan sesiapa yang mengajak manusia ke jalan kesesatan, maka dia akan memperolehi dosanya seperti dosa orang-orang yang mengikutinya dengan tidak dikurangkan sedikit pun daripada dosa mereka.

(Hadith riwayat Muslim – no.6980)

Dari Ustaz Ali Tantawi, Al-Ahkam.Net

Huraian:

  1. Konsep ganjaran dosa dan pahala adalah merupakan antara perkara asas dalam ajaran Islam. Keimanan kita kepada ganjaran sebegini akan menjadi benteng kukuh untuk menghalang manusia daripada melakukan perkara-perkara yang dimurkai Allah SWT.
  2. Konsep ganjaran pahala juga menjadi asas utama dalam membina jiwa muslim yang akan tetap terus mengamalkan perkara kebaikan walaupun tidak melihat ganjaran kebendaan di dunia ini.
  3. Kewajipan mengajak manusia kepada kebenaran adalah kewajipan seluruh umat dan sebaik-baik manusia yang menjalankan tanggungjawab ini adalah para Nabi dan Rasul ‘ a.s. Walaupun menerima tentangan dan cabaran, tugas itu tetap digalas berbekalkan slogan yang disebutkan di dalam Al-Quran, Surah Yunus ayat 72 yang bermaksud:

    "Jika kamu berpaling (dari peringatanku), aku tidak meminta upah sedikit pun dari padamu. upahku tidak lain hanyalah dari Allah, dan aku disuruh supaya aku termasuk dalam golongan orang-orang yang berserah diri (kepada-Nya)".
  4. Telah menjadi lumrah alam yang diciptakan Allah SWT apabila adanya pendakwah atau orang yang menyeru kepada kebenaran, pasti akan ada segolongan pendakwah yang berlawanan iaitu orang yang menyeru kepada kesesatan dan mengajak manusia meninggalkan agama. Firman Allah SWT di dalam Al-Quran, surah al-Taghabun ayat 2 yang bermaksud:

    "Dialah yang menciptakan kamu Maka di antara kamu ada yang kafir dan di antaramu ada yang mukmin. dan Allah Maha melihat apa yang kamu kerjakan. "
  5. Rasulullah SAW menerangkan di dalam hadith yang ringkas ini bagaimana seseorang yang menjadi sebab kepada orang lain mendapat hidayah akan diberi ganjaran oleh Allah SWT. Ganjaran itu bukan sekadar ganjaran hasil dakwahnya, malah ganjaran itu ditambah pula dengan ganjaran hasil amalan orang yang menerima dakwahnya. Inilah rahmat Allah SWT terhadap seorang pendakwah yang menjadi penyebab kepada tersebarnya petunjuk dalam kalangan manusia. Namun, Allah SWT tidak akan mengurangkan ganjaran yang diperolehi oleh mereka yang beramal. Segalanya adalah adil dan saksama malah dilipat gandakan lagi oleh Allah SWT.
  6. Rasulullah SAW juga memberitahu bahawa Allah SWT menyediakan balasan dosa untuk orang yang mengajak orang lain melakukan perkara-perkara yang salah dan dilarang oleh Islam. Malah dosanya itu digandakan dengan dirinya juga menanggung dosa orang-orang yang disesatkannya. Inilah ganjaran setimpal kerana dirinya menjadi penyebab ramainya pelaku dosa. Namun begitu, dosa orang-orang itu tidak akan dikurangkan dan mereka semuanya akan menanggung dosa berdasarkan amalan masing-masing. Itulah keadilan Allah SWT.
  7. Marilah kita berusaha untuk menjadi penyebab kepada hidayah dengan apa cara sekalipun dan bukan pula penyebar kesesatan dan dosa. Kalau di dunia ini kita mahu keuntungan berlipat ganda dalam bentuk wang dan harta, maka sepatutnya kita juga mahukan keuntungan akhirat yang berlipat ganda dalam bentuk ganjaran pahala dan keredhaan Allah SWT.